Login

Username:

Password:

Remember me



Lost Password?

Register now!

A-PUK

MENU UTAMA

PENDIRIAN PUK

PENDIRIAN PUK

PENDIRIAN PUK TENTANG ISU SEMASA UMAT ISLAM


Kenyataan Akbar YDP Puk, Ust Yusuf Mahmud mengenai Peristiwa Baling Kasut ke Dalam Masjid untuk disiarkan Sinar Harian

Persatuan Ulama Kedah (PUK) memandang berat peristiwa membaling kasut ke dalam sebuah masjid di Alor Setar baru-baru ini seperti yang disiarkan dalam akbar. Peristiwa tersebut sepatutnya tidak berlaku kerana tidak wajar dialakukan oleh umat Islam sebagai penghinaan terhadap masjid.

Walaupun semua pihak berhak menegur apa-apa yang difikirkan tidak betul tetapi mestilah dengan cara yang beradab dan sopan serta menghormati masjid sebagai institusi masyarakat yang mulia dan dihormati.

PUK berpendapat, adalah tidak wajar mana-mana umat Islam mengganggu pentadbiran mana-mana masjid dengan cara demikian walau untuk menegakkan kebenaran sedangkan mereka boleh manggunakan saluran yang betul seperti mengadakan perbincangan dengan imam atau pentadbiran masjid, janganlah sampai melakukan penghinaan atau hilang penghormatan kepada rumah Allah.

PUK bimbang jika peristiwa seperti ini dibiarkan tanpa cegahan besar kemungkinan peristiwa yang lebih menjijikkan akan dilakukan pada masa-masa akan datang. Janganlah marahkan nyamuk kelambu pula yang dibakar.

PUK berharap agar umat Islam menjadi dari kalangan 'orang yang suka mendengar lantas mengikut apa yang terbaik daripadanya'. Jika dalam ucapan sesiapa pun terdapat kesalahan tegurlah dengan cara yang berhikmah, jangan bertindak secara emosional. Manakala pihak yang menerima teguran hendaklah menerima setiap yang benar dari teguran yang diberikan.

PUK menasihati pihak-pihak yang melakukan peristiwa tersebut agar insaf dan bertaubat kepada Allah dan kembali memuliakan dan mengimarahkan masjid.

TOLAK HUKUM ALLAH
BAPAK SEGALA FITNAH
 
Setiap para Rasul diutuskan ke Bumi ini untuk menegakan hokum Allah. Demikian juga Rasul terakhirMuhammad s.a.w menyambung tanggungjawab Rasul-rasul sebelumnya. Para sahabat dan ulamak meneruskan tanggungjawab tersebut dengan pelbagai pendekatan.
 
Untuk memastikan hukum Allah tertegak, maka khalifah diamanahkan tanggungjawab tersebut. Maknanya khalifah adalah satu jawatan ketua umum dalam negara umat Islam. Tugasnya ialah memimpin umat manusia dengan memberi panduan-panduan ke jalan yang benar dan menyelesaikan masalah merekamengikut dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh Allah. Dasar-dasar ketetapan Allah berada dalam al-Quran dan al-sunnah.
 
Untuk menegak hukum Allah dalam sesebuah Negara bukanlah perkara mudah.Justeru, Islam menetapkan beberapa syarat yang amat ketat untuk membolehkan seseorang itu dilantik kejawawatan khalifah.
 
Apabila umat Islam memandang remeh mengenai syarat-syarat perlantikan ketua kerajaan ( khalifah ) dan pada masa yang sama mereka terperangkap dalam system demokrasi yang meletakan suara ramai sebagi penentu dalam membuat dasar, tanpa mengambil kira boleh atau tidak di sisi hokum Allah, maka bertitik tolak dari sinilah bermulanya bapak segala fitnah.
 
Politik demokrasi hari ini beleh diceburi oleh sesiapa sahaja asalkan ada lidah yang boleh bercakap. Sedangkan politik dalam Islam ialah ada tanggungjawab” Hirasatuddin wa Siasatuddunya bihi” iaitu memelihara agama dan siasah dunia dengannya ( agama ).
 
Apabila agama tidak dijaga dan dunia ini diurus tidak di bawah hukum Allah, jangan terperanjat dengan fitnah demi fitnah berlaku dalam masyarakat. Bila bapak fitnah sudah wujud, bila-bila masa bapak tersebut boleh melahirkan zuriat fitnah yang bercambah.
 
Bala fitnah akan menimpa semua orang dan sesiapa sahaja, apabila pembuat dasar bermaharajalela dalam pengurusan sesebuah Negara.Sehubungan dengan ini,al-Quran mengingatkan dalam ayat yang bermaksud ; Takutilah olehmu akan fitnah yang tiada akan menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu ( 8:25 ).
 
Islam telah mengajar kita untuk mengenali antara Usul dan Furuk.Mendahului furuk tanpa mengenali Usulnya, permasaalahan masyarakat tidak mungkin selesai. Inilah yang terjadi, khususnya dalam perkara fitnah-memfitnah.
 
Pekara yang berkaitan dengan hukum-hakam telah dijadikan isu dan dibawa ke dalam perdebatan awam mengenai sesuatu yang telah jelas hukumnya, adalah memperlihatkan bahawa budaya demokrasi cuba diterapkan dalam mempengaruhi sesuatu hukum, ini amat bahaya.
 
Ingatlah, kita punya Akidah yang tidak berubah, Syariah yang bukan sekadar berita tetapi wajib diterjemahkan. Akhlak bukan sekadar pengetahuan, tetapi wajib dijadikan hiasan diri. Sekiranya inilah pegangan kita, Insyaallah dapat dihindarkan dari bapak segala fitnah, sekaligus memandulkan cucu cicit fitnah.
 
 
Yusuf bin Mahmud
Yang Dipertua
Persatuan Ulama Kedah.

JUDI TIDAK WAJAR DIHALALKAN

Firman Allah bermaksud:

"Mereka bertanya kamu mengenai arak dan judi. Katakanlah: 'pada keduanya terdapat dosa (keburukan) yang besar dan beberapa faedah tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya".

"Wahai orang yang beriman: 'sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah najis, sebahagian dari amalan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu jauhi semoga kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di kalangan kamu akibat arak dan judi serta menghalang kamu dari mengingati Allah dan mendirikan solat. Maka tidakkah kamu mahu berhenti?. ( hendaklah kamu berhenti.)"

PUK menyokong penuh semua pihak termasuk NGO bukan Islam yang menentang cubaan kerajaan untuk memberi lesen judi bola sepak kepada pihak tententu sempena Perlawanan Bola Sepak Piala Dunia. Pengharaman judi adalah termaktub dalam al-Quran Surah al-Maidah ayat 90 dengan jelas dan tidak wajar timbul ura-ura untuk menghalalkannya.

Tidak wajar juga judi dijadikan sebagai satu sumber ekonomi untuk membangunkan negara atau sukan. Wang dari sumber yang haram tidak patut diberikan kepada atlet-atlet negara yang melaksanakan misi yang murni tetapi dihargai dengan sumber yang tidak halal.

Di samping itu, kesan buruk kepada masyarakat khususnya penagih judi yang menjadi satu masyarakat yang berangan-angan tanpa usaha, malas bekerja dan mengharapkan laba yang besar tanpa usaha yang gigih akan membantutkan pembangunan negara dan pemikiran umat. Sebenarnya negara membangun dengan usaha rakyat yang bersungguh-sungguh bukan dengan mendapat habuan dari judi.

Umat Islam mesti meyakini bahawa setiap usaha yang mereka lakukan walaupun mendapat pulangan yang tidak besar tetap akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah. Usaha yang ikhlas dihargai Allah.  Sebaliknya pulangan atau laba yang besar yang datang dari sumber yang diharamkan tidak diberkati dan akan musnah. 

Penagih-penagih judi mesti ingat bahawa kesalahan mereka bukan terhad kepada diri sendiri yang memakan atau menggunakan hasil judi tetapi juga melibatkan isteri dan anak-anak yang tidak berdosa. Mereka akan membuat pendakwaan di hadapan Allah di Akhirat nanti.

Dari aspek yang lain pula, harta dan rezki yang diperolehi dengan cara yang halal tidak patut digunakan atau dihabiskan dengan kegiatan perjudian yang haram kerana setiap nikmat itu akan ditanya oleh Allah adakah ianya digunakan pada jalan yang baik atau sebaliknya.

PUK berharap kerajaan tidak meneruskan cadangan tersebut dan diharap juga umat Islam dapat berhenti dari melibatkan diri dalam perjudian yang merupakan najis, kotoran dan amalan syaitan yang terkutuk.,

 


Kenyataan Media: Serangan Ke Atas Rombongan Bantuan Ke Palestin

 
Segala pujian bagi Allah yang mengangkat langit tanpa tiang dan menghampar bumi luas terbentang, selawat dan salam kepada junjungan, pembawa rahmat ke seluruh alam, kepada keluarganya, para sahabat yang berjanji setia,para pejuang pewaris mereka hinggalah kepenghujung dunia.

PUK ingin merakamkan penghormatan tinggi kepada saudara-saudara kita yang menyertai rombongan bantuan kemanusiaan ke Ghazzah dan inisiatif semua NGO yang menjadikan al-Aqsa sebagai tempat tumpahnya suara hati mereka. Walaupun kafilah ini dihalang tetapi saudara-saudara telah melaksanakan wasiat junjungan besar nabi Muhammad saw. yang sangat sangat berharap agar umat Islam berusaha menjejaki tempat isra’nya itu.

Marilah kita yakin bahawa amal salih dan niat ikhlas mereka telah diterima oleh Allah swt. Sehingga diangkat sebahagian daripada mereka sebagai syuhada’. Kalungan tahniah kepada shuhada ummah ini dan kepada mereka yang cedera, moga Allah memberi kesembuhan yang segera dan pembebasan daripada penjara yahudi laknatullah. Sesungguhnya umat ini sedang menanti kepulangan mereka.

Adapun mereka yang gugur, gugurnya adalah di jalan Allah, di pinggiran Baitul Maqdis. Gugurnya di lautan adalah dua kali ganda kemuliaannya di sisi Allah, daripada gugur syahid di daratan, kerana menghadapi ketakutan di lautan luas dan kegelapannya adalah berganda berbanding di daratan. Kemuliaan menjadi shuhada adalah idaman hati setiap orang yang beriman. Ya Allah, hidupkanlah kami sebagai umat yang mulia dan matikanlah kami sebagai syuhada’. Adapun orang yang beranggapan, mati bertarung tanpa senjata adalah satu sesalan. Mereka hendaklah melihat hakikat bahawa iman di dada mukmin menjadikan mereka gagah walaupun dengan dengan tulang empat kerat. Sementara mereka yang lengkap bersenjata tetapi tiada iman di dada hanya terkebil-kebil matanya tanpa suara.

Peristiwa ini menyerlahkan sifat yahudi-pembunuh nabi-nabi dan rasul-rasul itu- yang ganas tidak berperi kemanusiaan dan hauskan darah, Mereka melanggar semua garis merah undang-undang dan nilai kemanusiaan. Justeru itu tidak menghairankan jika bukan sahaja manusia, malah batu dan pokok juga menunjukkan kebencian yang meluap-luap terhadap bangsa Yahudi, sehingga mereka memberitahu di mana sahaja yahudi bersembunyi sepertimana tertera di dalam janji sahih dari Rasulullah saw.
Peristiwa ini seharusnya menjadi pengajaran berguna kepada sesiapa sahaja yang mahu menjalin hubungan dengan Yahudi- suatu bangsa yang tidak dapat dipercayai samasekali. Jika eropah yang banyak berjasa kepada yahudi lebih-lebih lagi dalam isu Palestin, tetapi jasa itu tidak menjadi penghalang untuk Yahudi membunuh warganya walaupun ia bersatus ahli parlimen.

Peristiwa ini menambahkan lagi keyakinan kepada umat Islam bahawa mereka tiada pilihan kedua. Mereka telah mencuba berbagai pendekatan dan akhirnya tiada pilihan yang dapat difahami oleh Yahudi melainkan bahasa kekuatan. Golongan yang menyalahkan umat Islam kerana bertindak menentang Yahudi seharusnya mendapat pelajaran daripada peristiwa ini. Menuduh umat Islam sebagai pengganas untuk mendapat perhatian dan restu yahudi adalah satu kesilapan besar. Melaksanakan agenda Yahudi dengan harapan Yahudi akan memberi keamanan, adalah satu fatamorgana. Yahudi tidak redha selama-lamanya kepada Islam dan umatnya.

Pembunuhan ini adalah penghinaan kepada Negara-negara Islam seluruhnya, Israel menganggap pemimpin Negara Islam seperti pengemis yang tak punya maruah dan anjing yang boleh diludah. Adakah Israel mempunyai sedikit rasa hormat kepada 40 Negara yang diwakili oleh flotilla ini?

Mesir dan Arab Saudi adalah dua Negara Islam yang besar dan mampu menurunkan keegoan Israel Jika mereka mahu melakukannya. Tetapi mereka memilih untuk mengabdikan diri seperti himar kepada Israel. Adapun Malaysia hanyalah sebuah Negara kecil yang tidak dapat berbuat apa-apa, memadailah jika ia sanggup menamatkan kontrak Apco.
 

Isnin, 2009 April 27

Kenyataan Media: Isu Kanak-kanak Kekal Agama Asal

 
Berhubung keputusan Kabinet yang membenarkan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.
PUK ingin menyatakan rasa kesal, dukacita dan kecewa di atas keputusan tersebut. Keputusan kabinet itu juga melukakan hati NGO-NGO Islam yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas dakwah dengan susah-payahnya demi secebis sinar hidayah. Apakah kabinet baru ini gersang dan kontang hati sanubarinya? Apakah mereka tidak ingin cahaya hidayah dinikmati oleh rakyatnya? Ataupun mereka tidak pasti apakah agama ini sama sahaja dengan agama lain yang tidak mempunyai substance dalam legasi kebenarannya.

PUK dengan tegas menyatakan bantahan terhadap keputusan tersebut kerana:

1.Ia bertentangan dengan nas al-Qur’an yang jelas menyatakan ibubapa wajib memastikan apakah agama yang dianuti oleh anak mereka. Keputusan ini menafikan tanggungjawab keibubapaan bagi golongan saudara baru dan menjadikan mereka kecewa serta dalam dilema yang tiada penghujung.
2. Ia bertentangan dengan nas Hadis yang jelas menyatakan anak-anak kecil dalam keadaan fitrah yakni Islam. Ibu bapa dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam pembentukan peribadi mereka.
3. Ia bertentangan dengan sirah Rasul saw. di mana Rasulullah saw. menerima dan mengiktiraf keislaman Saidina Ali r.a. sedangkan beliau ketika itu seorang kanak-kanak.
4. Ia bertentangan dengan naluri manusia yang bersih yang sentiasa mencari kebenaran.
5. Ia tidak menyelesaikan masalah masyarakat bahkan merumitkan lagi keadaan dan menjadikan anak-anak terumbang-ambing tanpa bimbingan.
6. Ia membuka ruang kepada golongan yang mempunyai agenda tersembunyi untuk menangguk di air keruh.
7. Ia seolah-olah menyatakan Islam tidak harus di tawarkan kepada kanak-kanak dan tidak bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia.
8. Ia bertentangan dengan kenyataan PM yang mahu Islam dimartabatkan dalam era baru pemerintahannya.
9. Ia bertentangan dengan Perlembagaan Negara yang memberi hak eksklusif kepada Islam sebagai agama rasmi untuk disebarkan. Sedangkan keputusan kabinet itu telah meletakkan halangan psikologi yang besar untuk seseorang memeluk Islam.
10.Ia bertentangan dengan arus kesedaran yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini yang melihat Islam satu-satunya harapan untuk menyelamatkan manusia setelah kegagalan ideology-idelogy moden. Umum mengetahui bahawa ideology-ideology inilah yang menguasai dunia dan menggantikan peranan agama-agama semenjak revolusi industri pada abad ke19.

Oleh itu PUK meminta agar:
1. Kabinet mengkaji semula keputusan tersebut.
2. Kabinet tidak membelakangkan majlis-raja-raja Melayu yang menjadi penaung kepada agama Islam di Malaysia.
3. PUK menyokong kuat kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brigedier General (B) Dato’ Jamil Khir Baharom yang mahukan perkara ini dirujuk kepada forum yang berautoriti dalam hal ehwal agama seperti Mesyuarat Mufti-mufti.

Akhirnya PUK juga bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang merasakan Islam telah berlaku tidak adil dalam konteksnya terhadap mereka atau merasa bahawa Islam tidak menjadi rahmat kepada kehidupan mereka, atau merasakan bahawa Islam sama sahaja dengan agama-agama lain yang tidak mempunyai substance terhadap legasi kebenarannya sebagai agama Allah dimukabumi ini.
 
Oleh PUK webmaster
 
 

Ahad, 2009 Januari 18

Kemenangan Palestin Adalah Kemenangan Ummah

 
Segala puji dan syukur milik mu jua ya Allah, di atas limpahan rahmat dan bantuan dari langit , dengannya telah mengangkat musibah yang menimpa umat Islam di Palestin. Selawat dan salam ke atas Nabi yang menghunuskan pedangnya di bumi Ghazzah. Selawat dan salam kepada keluarganya, para sahabat, tabi’in dan umat yang mengikuti mereka hingga Kiamat.

PUK ingin mengucapkan tahniah kepada umat Islam di seluruh dunia dan di Palestin secara khusus di atas anugerah Allah yang maha esa, kemenangan dalam mempertahankan kubu perjuangan Islam di Palestin dan maruah umat dari tergadai. Biarpun harga yang dibayar adalah terlalu mahal namun maruah umat Islam sedunia adalah lebih mahal dan umat Islam di Palestin telah membayarnya bagi pihak umat seluruhnya. Tahniah kepada mereka dan sesungguhnya umat ini terhutang kepada umat Islam di Palestin.

PUK juga mengalu-alukan keputusan kepimpinan Kerajaan Palestin yang diterajui oleh Ismael Haniyyah untuk cenderung kepada perdamaian apabila musuh memperlihatkan kecenderungan ke arahnya. Demikianlah fiqh peperangan dan perdamaian di dalam Islam. Kebijaksanaan kepimpinan beliau dan kekentalan barisan pejuang adalah asset yang hilang dari kepimpinan dunia Islam.

PUK menyarankan agar umat Islam berpuasa sehari dan melakukan sujud syukur bagi menyambut kemenangan umat Islam di Palestin dalam menghadapi serangan kuasa tentera yang keempat terkuat di dunia. Sebagai bandingan, dalam peperangan 1967, gabungan tentera Arab Mesir, Jordan, Suria Dan Iraq hanya dapat bertahan selama 6 hari sebelum tewas kapada tentera Israel. Sebaliknya dalam peperangan ini, pejuang-pejuang Palestin berjaya mengundurkan tentera Israel dalam masa 22 hari.

PUK menyokong saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Muhammad agar penjenayah perang diseret dan dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Mereka mengebom orang awam di dalam rumah, tempat ibadat dan hospital dengan alasan-alasan palsu. Mereka melanggar semua undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia di hadapan mata dan telinga PBB. Satu usaha raksaksa ke arah itu hendaklah digerakkan segera dan hendaklah digerakkan sekarang. Moga tragedi ini menjadi tragedi terakhir kepada Umat Islam.

Dan segala pujian adalah milik Allah tuhan semesta alam.
 
Oleh PUK webmaster
 
 

Sabtu, 2008 Disember 27

Palestin Memanggil

 
Segala pujian milik Allah yang mensyariatkan ibadatul qital. Selawat dan salam kepada nabi Muhammad s.a.w., pembawa panji-panji rahmat dan panji-panji peperangan, juga kepada keluarganya, para pejuang badar khususnya dan amnya kepada seluruh pejuang Islam sama ada mereka yang telah menemui Tuhannya atau yang sedang menanti.

Bumi Palestin adalah tempat isra’ Rasulullah s.a.w. dan masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam. Hari ini bumi perjuangan ini dibasahi darah lagi dengan keganasan Israel mengebom Bandar Ghazzah, membunuh sehingga kini seramai 380 orang awam dan mencederakan lebih 1500 lagi. Merekalah yang membatalkan perjanjian damai kali ini sebagaimana mereka telah membatalkannya berkali-kali sebelumnya dengan tujuan khianat dan pencerobohan.

Apa yang dikesalkan, ketika pengeboman Mumbai, seluruh dunia gegak gempita mengutuk peristiwa tersebut. Sebaliknya apabila pembunuhan beramai-ramai di Palestin berlaku, sunyi sepi. Kenapa?, ialah kerana mereka umat Islam.

Umat Islam adalah umat yang bersaudara tanpa garisan sempadan Negara dan bangsa. Jika seorang sahaja mengadu sakit, maka seluruh umat akan merasainya. Maka di atas kesedaran dan rasa tanggungjawab ini PUK menyeru seluruh umat Islam supaya menunjukkan rasa prihatin kepada nasib saudara kita di Palestin dengan mendoakan kesejahteraan mereka di dalam solat mereka dan menjadikannya sebagai bahan dalam perbincangan dan tulisan mereka. PUK juga menyarankan agar setiap masjid dan surau mengadakan solat hajat dan penerangan kepada masyarakat untuk menyemai rasa persaudaraan sejagat dan menanam ruh perjuangan di dalam jiwa generasi muda. PUK menyarankan agar setiap khatib menjadikan Khutbah Jumaat yang terdekat sebagai media terbaik untuk tujuan ini. Tukarkanlah rintihan dan air mata kesedihan kepada api yang membara. Sesungguhnya akan tiba masanya umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berangkat ke Palestin sebagaimana umat Islam berangkat ke Makkah al-Mukarramah.

“Barangsiapa menginginkan kemuliaan, Maka ketahuilah bahawa segala kemuliaan itu adalah milik Allah, kepadanya diangkat naik setiap perkataan yang baik dan amal yang saleh. Dan orang-orang yang merencanakan kejahatan itu disediakan untuk mereka azab seksa yang perit dan perencanaan jahat mereka akan musnah binasa.” (Surah Fatir: 10.)
 
Oleh PUK webmaster
 
 

Khamis, 2008 Oktober 16

Kenyataan Media: Isu dasar 50% kuota perumahan

 
Selaras dengan memorandum gabungan NGO (WEHDAH) yang menyokong dan mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri Kedah untuk melaksanakan dasar 50% kuota perumahan untuk bumiputera disyaratkan kepada semua pemaju dan merujuk bantahan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kedah/Perlis, maka PUK menyatakan sokongan sepenuhnya kepada keputusan Kerajaan Negeri Kedah Darulaman. PUK berpandangan bahawa langkah ini dapat mengurangkan pekulasi terhadap perumahan di Kedah. Spekulasi terhadap perumahan dalam jangka panjang memberi kesan tidak baik kepada ekonomi negara. Ini kerana spekulasi mendorong kenaikan harga aset secara mendadak sehingga melebihi nilai sebenar sesuatu aset. Keadaan ini digambarkan sebagai gelembung pasaran. Apabila kenaikan sampai kesuatu tahap yang tidak dapat ditampung oleh nilai aset maka gelembung akan pecah. Harga aset akan jatuh merudum kerana nilai sebenar jauh berbeza dengan nilai spekulatif. Justeru itu ia tidak memberi kebaikan kepada ekonomi dan aktiviti perniagaan berhemat, walaupun dalam jangka pendek ia kelihatan menguntungkan.

Dari segi sosial dasar ini adalah lebih memberi keadilan kepada masyarakat umum terutama mereka yang masih memerlukan tempat tinggal yang sempurna dengan harga mampu milik. Spekulasi harga menjadikan harga rumah cepat meningkat dan masyarakat bawahan tidak mampu memilikinya. Kesukaran masyarakat umum untuk memiliki kediaman yang selesa dengan harga yang mereka mampu hendaklah diatasi. Isu keperluan perumahan bukan bumiputera juga tidak timbul kerana komposisi mereka sekitar 30% sahaja sedangkan koata yang terbuka dan boleh mereka miliki adalah 50%.

Tidak dinafikan bahawa pihak pemaju akan mengalami sedikit kesukaran untuk menghabiskan jualan rumah dalam tempoh yang singkat. Namun permasalahan ini boleh di atasi dengan pihak pemaju melakukan feasibility studies dan membina rumah yang bersesuaian dengan permintaan pasaran. Pihak pemaju juga mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan, di samping membuat keuntungan daripada aktiviti ekonomi. Moga keharmonian hidup bermasyarakat dan berekonomi sentiasa terjamin dalam jangka panjang selaras dengan moto Negara berkebajikan yang mendapat keampunan Tuhan.

Syeikh Abu Bakar Awang
Yang diPertua
Persatuan Ulama Kedah
 

Jumaat, 2008 Oktober 10

Kenyataan Media: Majlis Hari Raya dan Jamuan Amal PUK

 
Persatuan Ulama Kedah memanjat sepenuh kesyukuran kepada Ilahi dan sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Majlis Hari raya dan jamuan amal terutamanya kepada Kerajaan Negeri Kedah yang telah membenarkan PUK menggunakan Dewan Sri Mentaloon di kediaman rasmi Menteri Besar sebagai tempat perhimpunan. Penghargaan juga kepada YB Ir. Hj. Amiruddin Hamzah yang mewakili YAB. Menteri Besar dalam perasmian majlis. Moga Allah memberkatinya dan mengangkat darjatnya di dunia dan di akhirat. PUK juga mendoakan agar YAB. Menteri Besar dikurniakan Allah kesembuhan yang segera dan kekuatan dariNya untuk terus mentadbir Negeri Kedah ke arah kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Seterusnya PUK mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang sama ada institusi kerajaan seperti PKNK atau syarikat swasta dan individu yang telah bermurah hati untuk merealisasikan impian tertegaknya Wisma Ulama. Moga Allah jua yang menerima ibadah infaq fisabilillah ini dan memasukkannya di dalam timbangan amal soleh di hari perhitungan kelak. Moga Institusi ulama terus utuh dengan sumbangan ini dan lebih gigih dalam gerak kerjanya insya Allah.

Jumlah yang berjaya dikumpul sehingga majlis semalam adalah RM120, 000 dan dijangkakan akan bertambah kepada RM 270, 000 selepas majlis ini. Jazallahu khairal jaza'.
 
 



DEMI MASA

Who's Online

1 user(s) are online (1 user(s) are browsing Content)

Members: 0
Guests: 1

more...

New Members

Nasir 2012/9/29
Hafez 2012/3/24
aziz 2011/10/18
firdausk 2010/12/1
shaari 2010/8/14
Mechatronic 2010/4/22
aliasnus 2009/2/16

:: MEMERLUKAN SUMBANGAN ::